Showing posts with label Peribadi. Show all posts
Showing posts with label Peribadi. Show all posts

Apr 15, 2009

Yang Mana Lebih Penting: Wang atau Cinta?

Bulan April 2009 agak aneh sebenarnya bagi saya. Minggu lepas, bertegur-sapa dengan kenalan lama sewaktu di sekolah rendah. Sebenarnya rumah kami hanya berselang beberapa rumah sahaja (berjiranlah maksudnya) cuma disebabkan berlainan hala tuju selepas tamat darjah 6, kami jarang sekali terserempak antara satu sama lain.

BTW, rakan ini adalah perempuan. Mungkin sebab itulah agaknya kami tidak rapat. Secara jujur, sebenarnya sewaktu saya di sekolah rendah, saya agak takut untuk bergaul dengan wanita. Nak tegur pun takut inikan nak ajak berbual.

Kami berbual lebih kurang sejam dan kebanyakkan topik menjurus kepada rakan-rakan lama. Apa yang mengejutkan saya, hampir 90% daripada mereka sudahpun berkahwin dan ramai antara mereka juga yang sudah mempunyai zuriat walaupun baru berusia di pertengahan 20.

Sebenarnya persoalan ini sudah lama bermain di fikiran saya dan pernah membincangkannya dengan beberapa orang rakan lelaki sehinggalah 2 hari lepas dengan tidak sengaja timbul semula isu ini tetapi daripada perspektif yang berbeza iaitu pendapat dari kaum hawa.

Dijadikan cerita, saya menghadiri seminar (akan diceritakan jika berkesempatan) pada hari Isnin. Kebetulan ada seorang peserta wanita yang hampir sebaya duduk di sebelah saya. Jadi saya memberanikan diri menegur (dah berani sikit, cewah).

Selepas tamat seminar tersebut kami pun lepak sambil berbual. Entah macam mana tiba-tiba masuk topik perkahwinan. Saya tahu topik ini tidak sepatutnya dibincangkan terutamanya dengan orang yang baru kita kenali tetapi disebabkan rakan baru ini agak cool dan open-minded, kami pun slumber aja.

Apa yang menarik adalah kami berdua sependapat mengenai isu perkahwinan iaitu banyak kes penceraian yang berlaku kini melibatkan wang. Si suami tidak mampu menyediakan apa yang dikehendaki oleh si isteri ataupun timbul isu di mana si isteri pula yang menyara hidup si suami dan keluarga.

Secara jujur, saya masih lagi single. Saya mengakui bahawa saya ini bukanlah handsome macam Datuk Shah Rukh Khan, tetapi saya pernah mempunyai peluang untuk bercouple. Cuma saya tidak berminat buat masa sekarang. (ehem, I'm not GAY ok!)

Pada saya, sekiranya seorang lelaki masih tidak mampu untuk menyara isteri dari segi kewangan, maka tidak patutlah mereka berkahwin. Mungkin pemikiran ini agak typical, tetapi itu adalah prinsip hidup saya dan saya percaya anda juga memiliki prinsip hidup anda sendiri walaupun ianya mungkin berbeza.

Anda mungkin akan berkata, "alah, couple tidak semestinya berkahwin". Saya setuju bahawa "jodoh pertemuan di tangan Tuhan" dan jika tidak ditakdirkan bersama, bercintalah bagai nak rak sekalipun tidak akan berakhir di jinjang pelamin.

Namun begitu, saya adalah jenis goal-getter di mana sukar bagi saya untuk mempraktikkan "kill 2 birds with one stone". Jadi, fokus utama saya sekarang adalah untuk memiliki kewangan yang stabil barulah memikirkan mengenai isu perkahwinan.

Mungkin kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga middle-class di hutan batu bergelar Kuala Lumpur ini menjadikan persepsi saya mengenai wang dan cinta berlainan dengan orang lain. Melihat orang lain dengan kereta mewah dan rumah besar menjadikan saya lebih berminat mencari kekayaan berbanding cinta.

Duit memang bukan segalanya, tetapi hampir ke semua benda di dunia ini memerlukan wang. Makan, pakaian, tempat tinggal, hiburan, pengangkutan, dan banyak lagi. Bagi saya duit adalah pelengkap hidup dan jika ada sesiapa yang mengatakan mereka boleh hidup tanpa wang terutamanya jika tinggal di kota metropolitan ini, saya tidak setuju dengan pendapat tersebut. (ini pendapat saya, jika anda tidak setuju, tulislah di blog anda sendiri mengenai pendirian anda, jangan pula "naik angin" dengan komen-komen panas di sini).

Pernah sekali seorang rakan membangkitkan isu bagaimana jika wanita yang anda kahwini memilih anda disebabkan oleh kemewahan yang anda miliki? Mulanya saya terfikir panjang mengenainya tetapi jika dikaji semula, jika orang yang anda kahwini tersebut adalah cantik, apa bezanya antara anda memilih wanita cantik sebagai isteri anda dengan perempuan tersebut memilih anda disebabkan oleh kekayaan?

Kesimpulannya bagi saya, sebelum umur mencecah 30 tahun, duit lebih penting dari cinta terutamana jika anda seorang lelaki (bakal ketua keluarga). Anda pula bagaimana?

Apr 14, 2009

Tidur oh Tidur

Benci rasanya bila tidak berkesempatan mengupdate blog. Bukan apa, bila tiada post baru bermakna kuranglah pengunjung ke blog ini. Walaupun setiap hari kunjungan orang ramai tidak kurang dari 100 orang tetapi jika saya selalu mengupdate biasanya boleh mencecah 300 - 500 pengunjung.

Akhirnya, saya sudah habis bermain The Godfather II. Sebenarnya dari minggu lepas lagi, hari Jumaat kalau tidak silap saya. Keseluruhan saya mengambil masa lebih kurang 14 jam untuk menjadi The Don! Ada pro and con untuk game terbaru keluaran EA Games ini tetapi saya tidak mahu memberikan komen panjang mengenainya. Ia tentu membosankan bagi mereka yang tidak meminati game.

Sebenarnya sekarang jam menunjukkan pukul 4:20 pagi tetapi saya masih belum terasa mengantuk. Jadi saya mengambil kesempatan ini mengupdate blog slumbeRAJA. Kebanyakkan post saya ditulis pada waktu sebegini.

Saya sebenar gemar tidur lewat dan kadangkala tidak tidur langsung. Macam vampire pun ada. Bagi saya, tidur yang terlalu lama mengurangkan produktiviti. Bayangkan jika secara purata anda tidur 8 jam sehari, ini bermakna jika umur anda panjang sehingga 60 tahun, 20 tahun dari masa tersebut hanya semata-mata untuk tidur.

Cawan keramat saya inilah yang sentiasa menemani saya; kadang-kadang teh, kadang-kadang kopi terpulang kepada taste hari tersebut. Beberapa bulan ini lebih kepada teh kerana addiction saya terhadap kopi berkurangan dan saya dengar kopi tidak baik untuk kesihatan jika diambil berlebihan.

Bagi melengkapkan suasana, Winamp dengan lagu Mindi Abair - "Cyan". Memang perfect!

Selain mengupdate blog, masa sebegini sangat seronok untuk membaca. Jika berkesempatan saya akan membaca buku-buku motivasi yang ada di rak. Hey, jangan ingat saya kumpul komik sahaja. Knowlegde pun penting untuk masa hadapan.

Untuk pengetahuan anda, akhbar online seperti Utusan biasanya diupdate pada masa-masa sebegini. Jadi, saya akan dapat berita terawal dan jika agak menarik saya masukkan ke dalam blog ini. Cuma kebelakangan ini kurang berita yang menarik kerana hanya banyak tertumpu kepada pemilihan UMNO dan pilihanraya.

Saya tahu ada antara pembaca yang takut tidur lewat. Mungkin kerana terlalu banyak menonton cerita hantu kot. Nasib baiklah saya memang bukan peminat filem seram walaupun filem
Jangan Tegur nampak menarik.

Apr 9, 2009

Pak Guard Semakin Kurang Ajar!


I'm officially anti-pak guard!

Ada sesiapa perasan tak sekarang ni makin banyak pengawal yang 'kerek' semacam terutamanya yang menjaga shopping mall. Minggu lepas saya terlihat seorang salesman dihalau keluar dari sebuah premis fast-food.

Saya faham bahawa itu tugas mereka cuma yang saya bengang adalah cara mereka melayan orang lain seperti penjenayah besar dan memalukan mereka dikhalayak ramai. Tidakkah mereka terfikir jika orang lain melakukan perkara yang sama terhadap mereka, apa agaknya mereka rasa?

Sejak kebelakangan ini saya banyak pengalaman buruk dengan pak guard. Minggu ini saya tidak dibenarkan membawa masuk beg notebook ke dalam library universiti sedangkan pelajar-pelajar lain turut melakukan perkara yang sama.

Setiap manusia mempunyai tahap kesabaran masing-masing dan saya sudah semakin hampir dengan limit saya. Jangan terkejut jika saya katakan bahawa saya tidak berasa ragu-ragu berkasar dengan mereka jika mereka terus berperangai seperti ini.

Saya pernah berbincang perkara ini dengan rakan-rakan dan rata-rata mereka juga pernah mengalami pengalaman buruk dengan pengawal keselamatan. Adakah anda juga pernah mengalami pengalaman sebegini?

Mar 30, 2009

Apakah Obsesi Anda? (Amaran: Anda Mungkin Terkejut Dengan Apa Yang Bakal Anda Saksikan)

Setiap kita memiliki obsesi masing-masing, di mana ianya terbentuk sejak dari kecil lagi. Bagi saya ianya umpama satu ketagihan (addiction) dan sukar untuk dikawal ataupun dihapuskan.

Ada orang suka kumpul teddy bear, robot, setem, buku, poskad, majalah, dan bermacam-macam lagi mengikut citarasa tersendiri.

Saya masih ingat seseorang bertanyakan kepada saya, mengapa saya tidak merokok? Ini jawapannya: -


Saya mula mengumpul komik sejak berusia 12 tahun lagi bermula dengan komik Dragon Ball. Saya percaya ramai antara anda yang menggilai komik ini dan disebabkan ini jugalah filem Dragon Ball mendapat kritikan hebat dari penggemar dari seluruh dunia. Berbalik kepada kisah saya, mungkin sebab itulah saya tidak merokok atau melepak di arked seperti rakan-rakan lain. Duit poket saya dihabiskan begitu sahaja dengan koleksi-koleksi komik dari Jepun dan Hong Kong. Mari saya tunjukkan buktinya: -

Bermula dengan Dragon Ball, diikuti dengan Jaguh Bola Sepak atau Captain Tsubasa: -


Kemudiannya Doraemon (tak ingat letak mana) diikuti Dragon Quest aka Misteri Naga: -


Penyiasat Remaja: -



Misteri Naga: -


Dr. Slump, Get Backers, Slam Dunk, Feel 100%: -



Detective Q: -


GTO: -


Conan: -


Wira Tunggal: -


Taufan Limau Tachibana: -


Lat Budak Kampung: -


Crayon Shin Chan aka Dik Cerdas: -


King of Fighter: -


Parang Gila: -


Naruto: -


Pelbagai komik tunggal: -


Sebenarnya ada banyak lagi cuma ada antaranya yang sudah hilang atau berada di dalam kotak di atas loteng rumah saya.

Ada sesiapa lagi gila macam saya?

Mar 23, 2009

Kampung vs Bandar: Yang Mana Pilihan Hati?


Saya dan Kuala Lumpur sememangnya tidak dapat dipisahkan sama sekali. Dilahirkan dan dibesarkan di ibu kota menjadikan saya benar-benar anak jati kota metropolitan ini. Setiap kali pulang ke kampung di Perak, saya pasti berasa kurang tenteram kerana perubahan yang amat ketara dari segi gaya hidup.

Di kampung, selepas jam 10 malam, keadaan menjadi sunyi dengan bunyi kenderaan jarang-jarang sekali. Jauh sekali jika anda ingin melihat kedai-kedai makan yang buka sehingga tengah malam. Bukan tiada, tetapi agak jauh dari tempat kami tinggal.

Secara peribadi, bagi saya kedai makan pada waktu malam bagi saya agak penting kerana saya selalu makan selepas jam 12 malam. Saya jarang melepak selepas tengah malam dan biasanya kalau keluar, memang semata-mata untuk mencari makanan.

Tambahan pula, berada di kampung yang tanpa Internet menjadikan saya lebih runsing kerana ini bermakna banyaklah kerja-kerja saya yang akan tertangguh. Jangan terkejut jika saya katakan bahawa dalam sehari saya menghabiskan lebih kurang 18 jam dengan Internet. Tidak hairanlah saya agak "panas punggung" setiap kali pulang ke kampung.

Saya tidaklah mengatakan bahawa tinggal di bandar lebih baik berbanding di kampung. Di kampung juga ada kebaikkannya. Living cost yang rendah, masyarakat tetangga yang lebih ramah dan mesra dan udara yang lebih segar. Cuma bak kata orang tua, "darah orang muda" mungkin menjadikan saya lebih selesa dengan suasana di bandaraya. Mungkin apabila hidup sudah semakin "settle down", saya juga mungkin memilih untuk tinggal di kampung.

Di Kuala Lumpur, di mana sahaja anda berada, begitu mudah untuk mencari gerai atau fast-food chain yang buka 24 jam. Malah, ada antara mereka yang menyediakan perkhidmatan Wifi percuma. Apa yang saya perlukan cuma laptop. Bagi anda yang tinggal di Ampang, anda pasti tahu di manakah Ampang Waterfront. Ini adalah salah satu lokasi tempat saya sentiasa meluangkan masa kerana terdapat OldTown yang menyediakan perkhidmatan Internet secara percuma.


Yang lebih menyeronokkan, ia tutup sekitar jam 3 pagi. Oleh itu, jika anda juga Batman seperti saya, ia adalah tempat yang agak selesa untuk makan dan melayari Internet. Malah, walaupun sudah lewat malam, masih ramai lagi pelanggan yang berada di sana (tidaklah berasa seram).

Biasanya jika saya ke sana untuk melayari Internet, saya lebih gemar pergi berseorangan. Bukan apa, biasanya saya menghabiskan masa berjam-jam di sana.

Mar 20, 2009

Adakah Anda Blogger Sejati?

Sudah beberapa hari saya tidak mengupdate blog ini. Saya sedang sibuk dengan beberapa project kecil dan dengan midterm exam serta assignment yang semakin bertimbun, nampaknya semakin kuranglah masa saya bersama slumbeRAJA. Maaf kepada mereka yang komennya masih belum berbalas. Saya akan cuba sedaya-upaya untuk menggembirakan semua pihak.

Jumlah traffik blog ini pun semakin susut kerana saya sudah lama tidak mempromosikannya. Nampaknya slumbeRAJA semakin dilupakan. isk isk isk, sedih. Walaubagaimanapun bagi mereka yang terus melawati blog ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana masih setia bersama saya. Bertuah kepada pasangan anda kerana anda bakal menjadi suami atau isteri yang setia. hehe.

Selepas lebih dari setengah tahun memasuki alam blogging, telah banyak yang telah saya pelajari. Kebetulan saya merayau-rayau di blog rakan-rakan dan terjumpa quiz ini, How Addicted to Blogging Are You?


80%How Addicted to Blogging Are You?


Berapakah markah yang anda terima? Postkan jawapan anda di sini ^^. Mari kita lihat siapa yang sudah ketagih blogging. hehe.

Mar 13, 2009

Hujan Lagi: Jangan Banjir Sudah!


Saya tidak pasti bagaimana dengan kawasan tempat tinggal anda tetapi di sini jarang sekali hujan turun pada waktu pagi. Cuaca sebegini memang seronok terutama sekali bagi yang gemar dibuai mimpi. Nampaknya ramailah yang ponteng kerja hari ini ditambah lagi esok hari minggu.Walaupun hujan itu rahmat, harapnya ianya tidak terus berlanjutan kerana sebentar lagi Solat Jumaat.

Sempat juga saya melayan FlyFM sebentar tadi dan topik yang agak menarik; Friday the 13th. Baru saya perasan tarikh hari ini. Bagi yang beragama Kristian mungkin memiliki kepercayaan mengenai Friday the 13th. Pertemuan tarikh 13 haribulan dengan hari Jumaat dikatakan membawa malang oleh mereka. Jika tidak silap saya, Friday the 13th juga ada dikaitkan dengan pembunuhan beramai-ramai pengikut Knights Templar dalam filem The Da Vinci Code lakonan Tom Hanks. Tidak pastilah samada ianya benar ataupun tidak.

Cuaca sebegini menjadikan saya tiba-tiba terasa malas. Banyak juga kerja yang masih belum siap. Agak panjang juga hujan kali ini, kalau tidak silap saya dari pukul 6:30 pagi tadi. Ada kemungkinan terdapat beberapa kawasan di Lembah Klang yang bakal banjir. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 1 - 2 jam lagi barulah hujan akan reda.

Mar 9, 2009

Streamyx Buat Hal Lagi. Jom Ramai² Tunjuk Perasaan!


Bengang rasanya dengan perkhidmatan Streamyx. Saya tidak pasti samada ada antara anda mengalami masalah yang sama tetapi setelah hampir 6 jam menunggu barulah Internet di rumah saya ketika ini kembali pulih 80% pada tahap normal. Masalah yang saya alami adalah kesukaran mengakses laman web Google, Blogger dan yang seumpamanya. Yang peliknya website lain tidak mengalami gangguan walaupun agak perlahan berbanding hari biasa.

Saya cuba menghubungi TMNet Streamyx centre bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah ini namun tiada seorang pun operator yang sudi mengangkat telefon. Habis jugalah beberapa ringgit kredit telefon saya membuat panggilan tersebut. Jika anda pernah menghubungi talian hotline Streamyx, anda pastinya tahu bahawa terdapat mesej automatik yang memberitahu pelanggan di kawasan mana yang sedang mengalami masalah. Apa yang saya tidak puas hati adalah, mesej tersebut terlalu panjang dan tiada kena mengena dengan kawasan saya. Rugilah jika saya terpaksa menunggu 1 minit semata-mata mendengar mesej tersebut. Nampaknya TMNet cuba mengaut keuntungan dari orang ramai yang menghubungi talian hotline tersebut.

Sudah banyak kali saya mengalami masalah di mana pekerja TMNet seolah-olah makan gaji buta dan tidak mahu melayan panggilan pelanggan. Mustahil jika panggilan sibuk kerana saya menghubungi mereka selepas pukul 12 tengah malam dan berselang 1 jam setiap panggilan.

Apa yang lebih menyakitkan hati adalah, mereka melakukan pembaikian atau maintenance tanpa memberikan notis kepada para pengguna bilakah ianya akan berlaku. Bayangkan ketika itu kita sedang melakukan tugasan penting yang deadlinenya adalah pada hari esok. Saya sebagai pengguna membayar RM88.00 setiap bulan kepada TMNet tetapi masalah sebegini seringkali timbul. Patutkah rakyat Malaysia mengamalkan budaya seperti di Amerika iaitu pengguna layak menyaman syarikat yang gagal memenuhi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna?

Disebabkan kegagalan menghubungi TMNet Streamyx centre, saya menghubungi terus kepada Telekom Malaysia centre bagi mendapatkan penjelasan dan juga membuat aduan. Terima kasih kepada flyguy yang sudi mengajar saya bagaimana untuk menghubungi pejabat tersebut. Caranya adalah dengan mendail 100 menggunakan telefon rumah anda (land line) dan kemudiannya menekan butang 1. Anda akan disambungkan kepada operator Telekom.

Saya berharap agar Wimax akan melebarkan jalurnya ke kawasan saya dan pada masa yang sama meningkatkan mutu perkhidmatan terutamanya pada ketika cuaca buruk supaya wujudnya persaingan dengan TMNet Streamyx. Jika bukan kerana Wimax masih kurang stabil, saya tidak ragu-ragu bertukar kepada perkhidmatan tersebut. Biar ini dijadikan pengajaran kepada pihak TMNet Streamyx tentang bertapa pentingnya menjaga kebajikan pengguna. Kita bukan guna secara percuma, kita bayar setiap bulan dan perkhidmatan perlulah setimpal dengan apa yang kita bayar.

Mar 3, 2009

Apa Sudah Jadi Dengan Sg Besi! Hampir 3 Jam Dalam Kereta!

Hari ini mencatat sejarah pengalaman paling buruk saya di atas jalan. Bukan sebab accident tetapi Kuala Lumpur mengalami kesesakan lalu lintas yang paling teruk saya alami. Sebenarnya saya mengaku ianya salah saya juga. Saya sepatutnya menggunakan lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya tetapi entah kenapa tiba-tiba bertukar fikiran last minute. Mungkin kerana memikirkan harga tol yang perlu saya bayar iaitu RM4.00 (dari Putrajaya ke Bulatan Kg Pandan)

Saya bertolak dari Cyberjaya tepat jam 5:40 petang dan disebabkan cuaca masih belum hujan saya ingin mencuba nasib melalui Seri Kembangan sebelum tembus ke Sungai Besi. Ketika tiba di persimpangan masuk ke Seri Kembangan, saya dapati kereta lebih banyak berbanding hari biasa, saya sudah mulai curiga tetapi cuba berfikiran positif.

Kira-kira jam 6:30 petang, saya mula memasuki Sungai Besi. Ketika itu saya agak berbelah bagi samada ingin menggunakan MRR2 ataupun Sungai Besi tetapi ketika sampai ke persimpangan memasuki MRR2 saya dapati traffik sudah mula sesak, jadi saya mengambil keputusan melalui Sungai Besi.

Pada mulanya traffik agak lancar tetapi apabila sampai berhampiran dengan persimpangan ke Desa Water Park jika tidak silap saya, kenderaan mula bergerak perlahan. Mulanya saya ingat, "biasalah tu Sungai Besi, sesak sedikit" tetapi 30 minit berlalu, kereta hanya bergerak pada jarak tidak sampai 2 km.

Disebabkan kebosanan melampau, saya sempat membaca buku "Why We Want You To Be Rich" oleh Robert Kiyosaki dan Donald Trump sambil memandu. Ops, terbongkar rahsia. Sempat juga saya menghabiskan 20 muka surat dalam keadaan kesesakan yang melampau sehinggalah senja menjelang.

Bukan apa, saya sudah terlalu bosan sehingga pada satu ketika terasa ingin keluar dari kereta dan berjalan kaki pulang ke rumah. Rasanya mungkin sudah tiba di rumah lebih awal. Bayangkan lagu Akon "Na Na Na" sudah dimainkan sebanyak 5 kali, manakala David Cook "Light On" 4 kali. Begitu bosannya keadaan pada waktu itu sehinggakan saya ada masa mengira jumlah lagu yang dimainkan.

Saya terdengar berita bahawa banyak jalan-jalan di Kuala Lumpur terutamanya berhampiran Pekeliling dilanda banjir manakala Bukit Bintang sesak dengan traffik tidak bergerak langsung.

Nasib baiklah saya tidak terasa ingin ke toilet kerana makan sedikit sahaja ketika lunch. Dan ada buku yang boleh dibaca bagi menghilangkan kebosanan. Saya tiba di rumah jam 9:25 malam. Tersangkut di Sungai Besi dari jam 6:33 petang sehinggalah 9:13 malam (kiralah sendiri berapa lama). Apalah malangnya nasib!

Mar 2, 2009

Ada Rakan atau Tiada Rakan. Yang Mana Lebih Baik?

Hari ini hidup agak membosankan bagi saya. Kerja, kerja dan kerja yang semakin bertimbun. Ditambah dengan sakit belakang akibat salah posisi tidur. Tiba-tiba terasa macam orang tua pun ada.

Kebelakangan ini saya agak kurang memberi tumpuan kepada berita semasa kecuali sukan. Bukan apa, sejak saya mengambil keputusan untuk tidak menulis mengenai isu politik tempatan di blog ini, berita di surat khabar utama banyak menerbitkan artikel yang agak membosankan. Jadi, saya rasa keputusan untuk bersara dari politik adalah tepat.

Disebabkan kekurangan idea, saya ingin bercerita sedikit mengenai pengalaman hidup saya.

Walaupun di luar saya gemar berkenalan dengan orang baru tetapi saya cukup teliti dalam memilih dalam mereka yang berada di sekeliling saya. Bukan sombong tetapi bagi saya, kualiti lebih penting dari kuantiti. Buat apa rakan berjuta tetapi apabila kita ditimpa masalah seorang pun tak sudi menghulurkan tangan membantu. Betul tak?

Disebabkan tabiat sebegini, saya banyak meluangkan masa bersendirian baik di rumah mahupun di luar. Saya adalah jenis yang tidak kisah dengan apa orang lain kata berbanding beberapa kenalan saya semasa di universiti dahulu. Ada antara mereka yang tidak mahu makan bersendirian di luar kerana tidak mahu di chop sebagai "anti-sosial" ataupun "social outcast".

Pada saya tiada apa salahnya, bukannya kita makan free atau mencuri.

Ke mana pun saya pergi, nasihat ibu saya sentiasa pegang "Pergi mana-mana pandai-pandai bawa diri dan jangan kacau orang lain". Saya percaya ibu bapa anda pun mungkin memberikan nasihat yang hampir serupa.

Tambahan pula sekarang ini, macam-macam jenis orang ada. Beberapa tahun kebelakangan ini banyak kes jenayah terutamanya melibatkan pergaduhan yang akhirnya membawa kepada kecederaan dan kematian terutamanya dari golongan remaja. Bergesel bahu pun boleh menyebabkan pergaduhan apatah lagi jika anda cuba untuk 'menekel' teman wanita mereka.

Entahlah, nampaknya pelapis masa depan negara ini tidak nampak begitu meyakinkan. Inilah agaknya yang berlaku apabila pembangunan negara tidak selari dengan pembangunan sahsiah penduduknya.



Bangsa Melayu terutamanya nampak begitu lemah kini. Yang muda sibuk berhibur tidak kira siang malam, Jom Heboh sana Jom Heboh sini. Yang tua pula sibuk dengan politik, kempen sana kempen sini. Sudahnya habuk pun tak dapat.



Saya bukan bercakap tanpa asas. Buktinya, saya ke Youth 09 tahun ini dan perasmian GEW 09 dan hanya beberapa kerat sahaja anak muda Melayu yang berminat untuk hadir. Sampai bila fenomena ini akan berterusan saya pun tidak pasti.

Mungkin anda tertanya apakah hubung-kait di antara masalah social dengan pengalaman saya tadi. Sebenarnya ada. Rakan-rakan di sekeliling anda memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri kita. Jika rakan-rakan di sekeliling anda gemar berhibur, anda juga akan mengikut tabiat yang sama.

Semasa saya di kolej, kebanyakan rakan-rakan saya gemar melepak tidak kira siang malam. Pada mulanya saya tidak terikut dengan tabiat mereka tetapi lama-kelamaan ia mula menjadi satu kebiasaan bagi saya. Keluar pagi, balik sampai lewat malam. Walaupun saya tidak terlibat dengan gejala rempit, dadah, arak dan sebagainya, masa yang saya ada dibazirkan begitu sahaja.

Sebab itulah saya katakan bahawa memilih rakan-rakan adalah penting kerana samada anda sedar ataupun tidak, ianya akan mempengaruhi hidup dan masa depan anda.

Feb 20, 2009

Sudahkah anda menemui bakat terpendam anda?

Percaya atau tidak, setiap manusia sebenarnya dianugerahkan dengan kurniaan dan bakat masing-masing. Anda mungkin pernah mendengan ungkapan tersebut tetapi sukar untuk mempercayainya kerana tidak ramai antara kita yang sedar dengan kelebihan kita.

Ada yang pandai menyanyi, petah berkata-kata, menari, bersukan, berlakon, menulis dan macam-macam lagi. Kelebihan yang saya senaraikan sebentar tadi mungkin boleh dianggap sebagai anugerah mainstream di mana ianya diiktiraf tidak kira di mana jua anda berada.

Persoalannya, sekiranya anda tidak memiliki kelebihan yang saya sebutkan tadi, di manakah kekuatan sebenar anda? Malangnya, saya tidak boleh menjawap soalan itu untuk anda. Anda sendiri perlu mengenalpasti bakat terpendam anda.

Bagi diri saya, saya percaya bahawa saya dikurniakan anugerah instinct yang baik. Walaupun bunyinya agak corny tetapi saya percaya bahawa saya memiliki kelebihan tersebut. Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa "Don't judge a book by its cover" tetapi biasanya gerak hati saya apabila bertemu orang baru sentiasa tepat. Biasanya dalam masa 5 - 10 minit saya boleh merasakan nature seseorang walaupun bukan secara spesifik dan lebih daripada 95% daripada jangkaan saya adalah tepat.

Contohnya, saya pernah tinggal bersama seorang rakan yang saya gelarkan A. A memiliki perwatakan yang disenangi ramai dan jarang sekali meninggalkan solat. Kiranya, A agak dipercayai ramai tetapi saya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena tetapi tidak pernah menyebut tentangnya kepada sesiapa. Pada satu hari, A mengajak rakan-rakan menyertai suatu program yang dikendalikan oleh syarikat keluarganya. Ramai yang percaya dan menyertainya berdasarkan perwatakan A di mana modalnya adalah beberapa ribu. Puas A mengajak saya tetapi ada sesuatu di hati saya mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena walaupun A nampak jujur. Beberapa bulan kemudian, A berhenti belajar dan lesap dengan duit rakan-rakan.

Selepas dari itu, saya begitu berhati-hati apabila memilih rakan terutamanya apabila melibatkan wang.

Berbalik kepada cerita bakat, setiap manusia memiliki bakat berbeza. Contohnya, kebanyakkan billionaire tidak memiliki bakat menyanyi tetapi mereka masih mampu untuk berjaya. Ini kerana mereka mengetahui bakat yang dimiliki oleh mereka dan menggunakannya dengan semaksima yang mungkin.

Sepanjang usia saya di muka bumi ini, saya sudah bertemu dengan ramai orang. Ada antara mereka yang tahu bakat mereka dan ada yang tidak. Yang menyedihkan adalah mereka yang tidak menyedari bakat mereka walaupun ianya sangat jelas. Walaupun bunyinya agak kejam tetapi saya tidak akan memberitahu apakah bakat terpendam mereka walaupun saya tahu. Bukan apa, jika mereka tidak menyedarinya sendiri, mereka tidak akan menghargai bakat tersebut dan mungkin menyalahgunakannya.

Sudahkah anda mengenalpasti bakat anda?

Feb 17, 2009

Nyamuk, Penyakit & Cuaca!

Nyamuk

Kebelakangan ini, kawasan tempat tinggal saya tiba-tiba sahaja dikerumuni oleh nyamuk yang saya tidak pasti dari mana datangnya. Setiap kali menyembur racun serangga, lebih dari 20 ekor nyamuk bertaburan di lantai. Itu baru ruang tamu sahaja, kalau dicampur dengan bilik-bilik dan dapur, sekurang-kurangnya ada 50 ekor. Rumah saya sudah umpama pusat penternakan nyamuk. Masalahnya, saya sudah memeriksa di sekitar rumah saya dan tiada satu pun bekas berisi air menjadi tempat nyamuk bertelur.

Menyembur racun serangga bukanlah suatu yang sukar, tetapi apa yang saya kurang gemar adalah, lantai rumah menjadi melekit selepas itu.

Ada sesiapa mengalami masalah yang sama seperti saya?

Penyakit

Kebelakangan ini saya diserang pelbagai penyakit, beberapa minggu lalu, batuk berterusan sehingga saya terpaksa melakukan pemeriksaan X-Ray bagi memastikan saya tidak dijangkiti TB. Penyakit ini bukanlah sesuatu yang common di Malaysia tetapi kemasukkan pendatang tanpa izin telah menyebarkan penyakit ini. Nasib baik hasil pemeriksaan adalah negatif.

Petang semalam, saya diserang sakit kepala dan terpaksa tidur dari petang sehinggalah terjaga pada lewat malam. Panadol Activfast pula sudah kehabisan stok.

Cuaca

Minggu lalu, cuaca pada sebelah petang seringkali mendung dan kadangkala hujan. Minggu ini, cuaca agak panas sehinggakan bahangnya dapat dirasai pada sebelah malam. Mungkin faktor cuaca juga yang menyebabkan saya berasa pening kepala.

Esok saya akan ke Cyberjaya. Harap-haraplah cuaca di sana tidak sepanas di Kuala Lumpur walaupun harapan tidak terlalu tinggi berdasarkan pengalaman lepas.

Dec 15, 2008

Rumahku Diceroboh Pendatang Asing Tanpa Izin (GAMBAR)

Sejak kebelakangan ini, rumah saya sering dikunjungi oleh pendatang tanpa izin. Ini dia rupa pendatang tersebut: -





Pada mulanya, kucing ini begitu sombong sekali tetapi selepas disogok dengan belaian, akhirnya mereka "tunduk".











One big happy family!