
Rempit, rempit, rempit...
10 tahun lepas, perkataan rempit tidak wujud dalam kamus kita tetapi sejak memasuki abad ke 21, mereka muncul umpama cendawan selepas hujan. Umpama tiada tujuan hidup, mereka ini menghiasi permandangan ibu kota tiap kala malam menjelma bangga mempamirkan aksi-aksi stunt mereka di jalan raya.
Sedar atau tidak, gejala rempit ini menjadi tunjang kepada pelbagai lagi masalah social di negara kita. Bermula dari gejala lepak, kemudian kepada lumba haram, seks bebas, samun, merompak dan akhirnya kes pembunuhan. Generasi muda terutamanya bangsa Melayu paling teruk menerima kesan dari aktiviti kurang bermoral ini.
Persoalannya, dari mana puncanya?
Dari pengamatan saya, semuanya bermula dari persekitaran tempat tinggal mereka. Rata-rata yang saya lihat, Mat Rempit memiliki latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah yang tinggal di ibu kota. Kebanyakkan mereka mempunyai masalah dengan keluarga masing-masing tetapi saya di sini bukan untuk memberi penilaian kepada setiap ibu bapa tetapi peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan dalam membanteras masalah yang semakin menular ini.

Berbalik kepada persekitaran tempat tinggal, mereka ini datang dari keluarga yang tinggal di rumah flat kos rendah di mana keselesaan sememangnya tiada dalam kamus hidup mereka. Bayangkan jika satu keluarga dengan 4 orang anak tinggal di rumah flat 2 bilik. Biasanya, anak lelaki terpaksa tidur di ruang tamu kerana tidak mempunyai pilihan. Mereka merasa tidak selesa walaupun di rumah sendiri menyebabkan mereka lebih gemar meluangkan masa di luar bersama rakan-rakan.
Apa yang saya tidak fahami di sini bagaimana peranan kerajaan membenarkan pemaju membina rumah tanpa menyelidik samada penghuni akan berasa ataupun tidak. Sekarang anda faham mengapa kebanyakkan post saya sebelum ini banyak mengutuk kerajaan berbanding pembangkang walaupun saya tidak menyokong mana-mana parti politik. Masalahnya dengan ahli politik adalah mereka tidak pernah merasai kesusahan yang dialami rakyat. Bagaimana mereka boleh berbangga dengan ungkapan "pemimpin berjiwa rakyat".
Saya ingin mencadangkan supaya suatu program "Pemimpin bersama rakyat" diadakan dengan pemimpin dari BN tinggal selama 3 hari di rumah kos rendah seperti rumah flat bagi merasai sendiri kesengsaraan yang dialami oleh rakyat berpendapatan rendah. Dengan cara ini, barulah mereka dapat merancang perubahan drastik bagi menangani masalah social yang semakin menular.
Malaysia bukan Singapura yang begitu 'miskin' dengan keluasan kawasan mereka. Malah, Singapura yang sangat kecil masih mampu menampung 2 juta penduduknya berbanding Malaysia yang berkeluasan berpuluh kali ganda dengan hanya 13 kali ganda jumlah penduduk. Saya rasa kita masih mampu membina rumah yang lebih besar dan selesa.
20 tahun dahulu, rakyat mungkin lebih gemar mengikut sahaja kehendak kerajaan tetapi kini rakyat sudah boleh berfikir. Graduan universiti yang mahukan perubahan akan mula mengundi pembangkang manakala mereka yang berpendidikan lebih rendah menunjukkan rasa memberontak mereka dengan melibatkan diri dalam aktiviti kurang bermoral bagi menunjukkan protes.
Jika anda lihat kini, semakin banyak projek rumah flat menggantikan rumah setinggan. Saya pernah merasai tinggal di kedua-dua jenis rumah dan percaya ataupun tidak, rumah setinggan jauh lebih selesa berbanding rumah flat walaupun didirikan hanya menggunakan papan, paku dan zink.
