Mar 13, 2009

PPSMI: Hapus Atau Tidak? Saya Ada Penyelesaiannya!

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini, permintaan dari xsanz. Cewah, terasa seperti DJ radio pun ada. Saya sebenarnya sudah lama ingin menulis artikel ini cuma masa tidak mengizinkan. Dalam masa yang sama, saya agak bimbang jika apa yang ingin saya perkatakan di sini mungkin tidak sehaluan dengan pendapat ramai dalam isu ini. Jika anda mengikuti blog ini, anda mungkin sedar yang kebanyakkan artikel saya mungkin menimbulkan kontroversi kerana saya agak liberal dalam menyuarakan pendapat.

Berbalik semula kepada isu PPSMI, saya bersetuju bahawa ianya patut dihapuskan tetapi pada masa yang sama saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya di mana Malaysia mengubah polisi bahasa rasmi dari bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris. Ini bermakna segala pembelajaran di peringkat rendah perlu ditukarkan kepada bahasa Inggeris kecuali subjek Bahasa Malaysia dan Agama/Moral. Dengan cara ini, tidak akan timbul lagi masalah di mana pelajar menjadi keliru kerana mereka sudah membiasakan diri dengan bahasa Inggeris.

Saya terbaca satu artikel yang mengatakan bahawa, sekiranya seseorang gagal menguasai sesuatu bahasa selepas mereka berusia 8 tahun, maka bahasa tersebut akan kekal sebagai bahasa kedua mereka dan mereka mengalami kesukaran untuk menguasainya kelak.

Anda mungkin tidak bersetuju dengan pendapat saya tetapi cuba lihat di sekeliling anda, hampir kebanyakkan perkara dalam kehidupan seharian anda memerlukan penggunaan Bahasa Inggeris. Dari rancangan TV, radio, muzik, buku, majalah, surat khabar, dan banyak lagi.

Selain itu, ada sebab lain mengapa saya bertegas dengan pendirian saya: -

1) Peranan kerajaan yang tidak membantu untuk benar-benar memperkasakan bahasa Malaysia. Saya terbaca di sebuah blog mengatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ke-4 paling banyak digunakan selepas Mandarin, English dan Spanish, kerana populasi Indonesia + Malaysia. Namun begitu, jika kita bandingkan bahasa Jepun dengan bahasa Malaysia, martabat bahasa kita jauh lebih rendah.

2) Universiti, syarikat berstatus MSC dan antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara. Ini bermakna apabila anda tamat sahaja persekolahan peringkat menengah, anda boleh katakan bye-bye kepada bahasa Malaysia.

3) Pengaruh media massa dari barat dan kemasukan banyak rancangan berbahasa Inggeris. Saya tidak pasti samada anda sedar tetapi terdapat banyak rancangan di Astro yang tidak mempunyai sarikata dalam bahasa Malaysia, maka anda perlu tahu bahasa Inggeris bagi menonton rancangan kegemaran anda. Bagi peminat bola sepak, anda pasti faham maksud saya.

4) Kebanyakkan bahan rujukan seperti buku dan Internet adalah dalam bahasa Inggeris. Kesukaran mencari sumber dalam bahasa Malaysia menjadikan bahasa Inggeris sesuatu yang wajib dalam kehidupan seharian.

5) Semakin banyak perkataan Melayu yang diterjemah terus dari bahasa Inggeris. Ini secara tidak langsung merendahkan martabat dan hilangnya kredibiliti bahasa Malaysia di mata dunia walhal bahasa Melayu adalah merupakan
lingua franca satu ketika dahulu.

Saya tidak mengatakan bahawa Bahasa Malaysia perlu dihapuskan sama sekali. Seperti juga adat resam, tidak bermakna apabila kita memasuki abad ke-21, semuanya perlu kita abaikan. Setiap bangsa di dunia ini bangga dengan budaya dan turun temurun mereka. Cuba kita lihat Singapura, mereka juga mempunyai etnik berbilang bangsa, tetapi majoritinya adalah bangsa Cina. Namun begitu, mereka tidak menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi sebaliknya bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi mereka. Dalam erti kata yang lain, mereka memilih bahasa yang lebih neutral dan tidak menyebelahi mana-mana bangsa.

Saya lihat bangsa Melayu di Singapura masih ramai yang boleh berbahasa Malaysia, bangsa Cina boleh berbahasa Mandarin / Cantonese dan bangsa India masih boleh bertutur dalam bahasa Tamil. Adakah negara mereka lebih mundur dari negara kita? Kita semua tahu jawapannya.

Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, pendapat saya mungkin tidak sehaluan dengan anda semua tetapi saya melihat dari sudut di mana kurangnya peranan kerajaan untuk benar-benar menjadikan untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Sebagai seorang pelajar di universiti swasta, saya melihat bagaimana rakan-rakan berbangsa Melayu mengalami masalah bertutur dalam bahasa Inggeris sedangkan rakan-rakan berbangsa Cina dan India dengan mudah menyesuaikan diri mereka.

Saya bukan semata-mata mahu mengkritik tetapi semuanya ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Segala pembelajaran saya sejak dari sekolah rendah, sekolah menengah, dan kemudiannya kolej adalah dalam bahasa Malaysia tetapi apabila melangkah ke alam universiti, saya mengalami kesukaran dalam persekitaran pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, saya kurang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Apa yang merisaukan, rata-rata temuduga kerja adalah dalam bahasa Inggeris. Jika saya tidak bersiap sedia maka saya tidak mampu untuk bersaing dengan graduan-graduan lain yang berbangsa Cina dan India.

Ketika ini anda mungkin agak bengang dengan saya tetapi jika anda baca penjelasan saya di atas, sebenarnya bangsa Melayu sendiri yang menerima kesan yang paling teruk. Bangsa Cina & India mampu bertutur sekurang-kurangnya 3 bahasa manakala kita pula, bahasa Malaysia sendiri pun kebanyakkannya adalah bahasa rojak. Bilakah kali terakhir anda menggunakan bahasa baku dalam pertuturan seharian anda. Malah, ramai anak Melayu yang gagal memperolehi A dalam subjek Bahasa Malaysia di peringkat UPSR, PMR dan SPM manakala bangsa lain cemerlang dalam subjek tersebut.

Apa pendapat anda?

7 comments:

Anonymous said...

Temu duga kerja dibenarkan dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Siaran slot asing yang ditayangkan di stesen televisyen dibenarkan tanpa sari kata bahasa kebangsaan.

Label-label barangan yang dihasilkan di negara sendiri dibenarkan tanpa guna bahasa kebangsaan.

Sains dan Matematik dibenarkan dipelajari dalam bahasa Inggeris dan tidak lagi dalam bahasa kebangsaan.

Apa nak jadi dengan negara ini. Mentaliti apa jenis pemimpin kita ni. Mana maruah dan martabat bangsa negara kita.

Semuanya dibenarkan walaupun sebenarnya 'tidak wajar sama sekali diperlakukan sedemikian'. Kononnya sikap itulah yang terbaik dan perlu dicontohi dunia.

Gila.

ahmad said...

setuju dengan 'antibangang'..

tiada siapa pun boleh mempertahankan kita selain kita..

bila dah hanyut, yang lain datang tengok saja dan takkan menolong..

tammat..

Anonymous said...

terima kasih saudara slumbeRAJA..
pendapat saya mengenai PPSMI:
diteruskan agar pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi bersedia menerima subjek2 bahasa asing... ( sekarang ni saya sendiri sukar nak belajar matematik dalam Bahasa Inggeris.. patut dimulakan pada usia awal )
kekalkan beberapa subjek seperti Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam dan beberapa subjek lain lagi dalam Bahasa Malaysia...

Anonymous said...

pendapat saya:

kewajaran meneruskan penggunaan bahasa inggeris sepenuhnya disekolah jika ia meliputi semua mata pelajaran..kecuali mungkin bahasa melayu dikecualikan...
saya sokong jika itu yang dilakukan..

ketidakwajaran jika sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris...saya tak sokong,matematik dan sains memerlukan kefahaman yang baik, teguh dan kuat untuk melahirkan generasi muda yang bijaksana dan cemerlang...

saya kurang bersetuju jika kebanyakkan rujukan adalah dalam bahasa inggeris. memang banyak dalam bahasa inggeris..tapi kebanyakkan buku2 tersebut mahal...apa gunanya universiti melahirkan mereka yang mengambil pakar2 bijaksana jika ilmu yang ada didalam buku setebal 3inci tidak diterjemahkan kebahasa melayu...inilah yang kita mahukan memjadikan bahasa melayu kebahasa ilmu dengan menterjemahkan seberapa banyak ilmu didalam bahasa asing kebahasa melayu...

masih ingat dizaman kejatuhan dinasti ROM...bagaimana mereka bangkit??? sarjana bijak pandai mereka berusaha keras menterjemahkan ilmu2 dalam bahasa arab yang dimilikki oleh sarjana islam waktu itu...mereka bangkit dengan menggunakan bahasa mereka sendiri...berjayakan mereka??? tapi sayang dinasti ROM yang berkembang itu menipu dunia dengan mengatakan ilmu itu mereka punya....itulah yang anda tertipu, bahasa inggeris itu dilahirkan oleh dinasti ROM....

bagaimana dengan anak2 luar bandar??graf pencapaian boleh diubah...percaya atau tidak markah lulus untuk subjek fizik tak sampai 20 pun...saya bakal guru fizik, saya bukan cakap kosong...kementerian dijaga oleh menteri..mestilah bende macam ini akan cuba diselindung dari mata orang ramai...berpuluh2 orang dapat berpuluh A....siapa jamin mereka mendapat 80 markah????anda???

anak2 luar bandar dikelilingi dengan masyarakat yang menggunakan bahasa melayu sepenuhnya...tak kesiankah anda berbahasa inggeris dengan mereka???seperti itik bercakap dengan ayam...

apabila kita membesar dan dewasa, memasukki mana2 kolej, pelajar perlu matang, penerimaan bahasa inggeris bukanlah suatu masalah...kerana kita juga boleh mengambil bahasa lain diuniversiti...kita berpeluang..cuma ppeluang itu mahu kita rebut atau tidak...

saya percaya bahasa melayu masih relevan untuk kemajuan...tapi kemajuan bukan pada bahasa....kemajuan pada kebijaksaan...

Anonymous said...

Apa yang saya dapat ungkapkan ialah "Bahasa Jiwa Bangsa".

Bangsa yang tiada bahasa, maka jiwanya hilang. Bak kata jasad tanpa roh.

DH said...

salam...
saya sebenarnya tidak dapat melihat pendirian sebenar penulis...
anda mahukan ppsmi dihapuskan, tetapi mahukan bahasa inggeris diajar untuk semua subjek...& dijadikan bahasa rasmi...
anyway, i agree with you on the important of English nowadays, & how important that new generation being teach using English from their early age.
im also writing this issue in my blog....hope you can read & give comments on my opinion :)

@dmin said...

harul_aini: ppsmi hanya untuk sains dan matematik. kerajaan mahu pelajar menguasai bahasa inggeris. tapi masalahnya jika hanya pembelajaran dalam bahasa inggeris akan menyebabkan pelajar terutamanya yang berbangsa melayu tidak dapat menguasai matapelajaran tersebut kerana tidak pandai berbahasa inggeris. ini menjadi punca permasalahan sebenar mengapa isu PPSMI dibangkitkan. oleh itu, disebabkan hampir segala kehidupan seharian kita dikelilingi oleh bahasa inggeris, mengapa tidak menukarkan terus bahasa kebangsaan dari bahasa malaysia kepada bahasa inggeris. inilah apa yang saya cuba sampaikan dalam post ini. harap ini dapat menjelaskan pendirian saya.