May 4, 2009

Siapakah Bakal Bergelar Juara Liga?

Sudah agak lama saya tidak menyentuh isu semasa bola sepak di sini. Dengan ke semua liga di Eropah sudah hampir ke penghujungnya, jurang antara pendahulu liga dengan pasukan di bawah nampak begitu ketara di mana saya rasa kita sudah boleh membuat kesimpulan kelab manakah yang bakal menjulang kejuaraan musim ini.
Dalam aksi Liga Inggeris, Manchester United kini berada 3 mata tetapi masih kurang satu perlawanan di depan pencabar terdekat Liverpool yang menang perlawanan menentang Newcastle dengan jaringan 3 gol tanpa balas semalam. Sekiranya United menang 2 lagi baki perlawanan diikuti dengan satu seri, mereka mungkin akan bergelar juara sebelum perlawanan terakhir musim ini. Saya menjangkakan pasukan bimbingan Sir Alex Ferguson bakal bergelar juara 3 musim berturut-turut sekaligus menyamai rekod 18 kejuaraan liga yang turut dimiliki oleh Liverpool.
Kemenangan pendahulu liga Sepanyol, Barcelona kini hampir pasti bergelar juara apabila membenam juara bertahan musim lalu Real Madrid dengan jaringan 2 - 6 di tempat lawan sekaligus menutup pintu bagi memintas pasukan bimbingan Pep Guardiola. Jika anda menonton perlawanan semalam, pastinya anda dapat melihat jurang antara kedua pasukan di mana Madrid nampak begitu tumpul dari segala aspek baik pertahanan, tengah mahupun penyerang. Jika bukan disebabkan ketangkasan Iker Casillas, mereka mungkin tewas dengan jurang gol yang lebih besar.
Seperti juga 2 liga yang saya sebutkan di atas, Serie A juga sudah menampakkan siapakah bakal bergelar juara tahun ini dengan Inter meneruskan rekod baik mereka untuk mempertahankan kejuaraan dengan baki musim hanya tinggal 4 perlawanan sahaja. Musuh tradisi mereka, AC Milan kini berada 7 mata di belakang apabila berjaya memintas Juventus yang kini nampak semakin terjejas dari segi prestasi. Namun begitu, saya menjangkakan ketiga-tiga pasukan gergasi Itali ini akan kembali semula dalam pentas Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Hanya Bundesliga yang masih lagi terbuka dari segi perebutan kejuaraan dengan kemungkinan ianya berterusan sehingga hari terakhir liga. Selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah dengan keputusan yang cukup memalukan, Bayern Munich kini cuba menebus kehampaan mereka dengan terus mencabar kedudukan teratas liga yang kini dipegang oleh VfL Wolfsburg dengan perbezaan 3 mata sahaja. Pada masa yang sama, Hertha Berlin, VfB Stuttgart dan Hamburg SV juga sedang mengintai peluang masing-masing untuk menyambar kejuaraan sekiranya pesaing mereka gagal memanfaatkan peluang yang ada.
Beralih kepada liga Perancis, Lyon kemungkinan besar terpaksa berpuas hati dengan tangga ketiga dengan persaingan kini tertumpu kepada 2 pasukan iaitu Marseille dan Bordeaux yang kini berkongsi 68 mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan satu gol. Juara bertahan tersebut kini berada 7 mata di belakang pendahalu liga dan ini semestinya suatu tamparan hebat buat mereka yang sudah 7 tahun berturut-turut bergelar juara liga tersebut. Pasukan tersebut pasti akan menyesali tindakan mereka menjual pemain bintang muda, Hatem Ben Arfa yang kini beraksi bersama Marseille selepas perselisihan faham dengan seorang lagi bintang muda Perancis, Karim Benzema.
Bagi peminat liga Scotland, seperti biasa perebutan liga antara Celtic dan Rangers sudah umpama suatu tradisi sehinggakan pernah ada spekulasi untuk membawa kedua kelab gergasi tersebut ke dalam EPL. Mereka kini hanya dipisahkan dengan hanya satu mata tetapi saya menjangkakan Celtic bakal bergelar juara tahun ini.

2 comments:

Shamsul Aizat said...

macam mana dengan perebutan liga super antara Kelantan dan Selangor? hehe.

Tekkaus said...

Sudah tentu Manchester United! Haha :D