Bulan April 2009 agak aneh sebenarnya bagi saya. Minggu lepas, bertegur-sapa dengan kenalan lama sewaktu di sekolah rendah. Sebenarnya rumah kami hanya berselang beberapa rumah sahaja (berjiranlah maksudnya) cuma disebabkan berlainan hala tuju selepas tamat darjah 6, kami jarang sekali terserempak antara satu sama lain.BTW, rakan ini adalah perempuan. Mungkin sebab itulah agaknya kami tidak rapat. Secara jujur, sebenarnya sewaktu saya di sekolah rendah, saya agak takut untuk bergaul dengan wanita. Nak tegur pun takut inikan nak ajak berbual.
Kami berbual lebih kurang sejam dan kebanyakkan topik menjurus kepada rakan-rakan lama. Apa yang mengejutkan saya, hampir 90% daripada mereka sudahpun berkahwin dan ramai antara mereka juga yang sudah mempunyai zuriat walaupun baru berusia di pertengahan 20.
Sebenarnya persoalan ini sudah lama bermain di fikiran saya dan pernah membincangkannya dengan beberapa orang rakan lelaki sehinggalah 2 hari lepas dengan tidak sengaja timbul semula isu ini tetapi daripada perspektif yang berbeza iaitu pendapat dari kaum hawa.
Dijadikan cerita, saya menghadiri seminar (akan diceritakan jika berkesempatan) pada hari Isnin. Kebetulan ada seorang peserta wanita yang hampir sebaya duduk di sebelah saya. Jadi saya memberanikan diri menegur (dah berani sikit, cewah).
Selepas tamat seminar tersebut kami pun lepak sambil berbual. Entah macam mana tiba-tiba masuk topik perkahwinan. Saya tahu topik ini tidak sepatutnya dibincangkan terutamanya dengan orang yang baru kita kenali tetapi disebabkan rakan baru ini agak cool dan open-minded, kami pun slumber aja.
Apa yang menarik adalah kami berdua sependapat mengenai isu perkahwinan iaitu banyak kes penceraian yang berlaku kini melibatkan wang. Si suami tidak mampu menyediakan apa yang dikehendaki oleh si isteri ataupun timbul isu di mana si isteri pula yang menyara hidup si suami dan keluarga.
Secara jujur, saya masih lagi single. Saya mengakui bahawa saya ini bukanlah handsome macam Datuk Shah Rukh Khan, tetapi saya pernah mempunyai peluang untuk bercouple. Cuma saya tidak berminat buat masa sekarang. (ehem, I'm not GAY ok!)Pada saya, sekiranya seorang lelaki masih tidak mampu untuk menyara isteri dari segi kewangan, maka tidak patutlah mereka berkahwin. Mungkin pemikiran ini agak typical, tetapi itu adalah prinsip hidup saya dan saya percaya anda juga memiliki prinsip hidup anda sendiri walaupun ianya mungkin berbeza.
Anda mungkin akan berkata, "alah, couple tidak semestinya berkahwin". Saya setuju bahawa "jodoh pertemuan di tangan Tuhan" dan jika tidak ditakdirkan bersama, bercintalah bagai nak rak sekalipun tidak akan berakhir di jinjang pelamin.
Namun begitu, saya adalah jenis goal-getter di mana sukar bagi saya untuk mempraktikkan "kill 2 birds with one stone". Jadi, fokus utama saya sekarang adalah untuk memiliki kewangan yang stabil barulah memikirkan mengenai isu perkahwinan.
Mungkin kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga middle-class di hutan batu bergelar Kuala Lumpur ini menjadikan persepsi saya mengenai wang dan cinta berlainan dengan orang lain. Melihat orang lain dengan kereta mewah dan rumah besar menjadikan saya lebih berminat mencari kekayaan berbanding cinta.
Duit memang bukan segalanya, tetapi hampir ke semua benda di dunia ini memerlukan wang. Makan, pakaian, tempat tinggal, hiburan, pengangkutan, dan banyak lagi. Bagi saya duit adalah pelengkap hidup dan jika ada sesiapa yang mengatakan mereka boleh hidup tanpa wang terutamanya jika tinggal di kota metropolitan ini, saya tidak setuju dengan pendapat tersebut. (ini pendapat saya, jika anda tidak setuju, tulislah di blog anda sendiri mengenai pendirian anda, jangan pula "naik angin" dengan komen-komen panas di sini).Pernah sekali seorang rakan membangkitkan isu bagaimana jika wanita yang anda kahwini memilih anda disebabkan oleh kemewahan yang anda miliki? Mulanya saya terfikir panjang mengenainya tetapi jika dikaji semula, jika orang yang anda kahwini tersebut adalah cantik, apa bezanya antara anda memilih wanita cantik sebagai isteri anda dengan perempuan tersebut memilih anda disebabkan oleh kekayaan?
Kesimpulannya bagi saya, sebelum umur mencecah 30 tahun, duit lebih penting dari cinta terutamana jika anda seorang lelaki (bakal ketua keluarga). Anda pula bagaimana?













